Wednesday, November 22, 2006
Assalamualaikum warrahmatullahi ta'ala wabarrakatuh
Alhamdulillah.. Syukur ke hadrat Illahi ana diberi peluang untuk melihat kecantikan alam Allah ini.. Alhamdulillah ana masih dapat menyayangiNya, keluarga tersayang, saudara-mara tercinta dan jua rakan-rakan yang setia di sisi walaupun tika dinihari.
Sehari suntuk ana, tidak dapat menumpukan perhatian dengan kerja-kerja yang sepatutnya dilakukan ana. Fikiran ana berkecamuk. Ana seakan-akan tidak tahu fikirkan yang mana baik dan buruk untuk diri ana lagi. Kezaliman yang ana rasa wujud pada diri ana terasa kian menebal. Adakah ia sebab ana memang semakin zalim? Ataupun ia hanya bisikan naluri sahaja?
Sayu rasanya apabila seorang sahabat mengundur diri akibat sesuatu kesilapan yang tidak disengajakan. Sayu lagi rasanya jikalau sahabat itu seseorang yang mula disayangi. Kesayuan itu bukannya lahir dari titisan air mata sahaja. Malah, ia lahir dari hati dan sanubari yang terus menusuk mencengkam jiwa.
Ana terus tertanya apakah yang ada pada cinta, kasih dan sayang. Adakah mereka hanya perkata-perkataan yang tidak lagi membawa sebarang makna yang sememangnya patut dihargai? Bagi ana, cinta, kasih dan sayang tidak membawa sebarang erti pada diri ana lagi. Ana tidak mahu menagih atau mengemis kasih dari sesiapa. Biarlah ana dengan hidup ana yang sebegini. Setiap kali ana rasa ana sudah boleh mula berganjak dari tirai semalam, ana akan dihimpit dugaan sehinggakan kasih yang mula berputik tidak dapat disemai. Ana redha dengan dugaan Illahi yang diberi. Mungkin ini caranya ana menjadi lebih kuat dan matang menempuhi ranjau onak duri.
Umi sering mengingatkan, "Carilah seseorang yang dapat membimbingmu di dalam ukhrawi semoga hidupmu diberkati. Carilah yang berilmu supaya tidak sesat nanti. Carilah yang beriman supaya dia menyayangimu kerana Illahi. Apa jua keputusan yang dilakukan, ingatlah Dia Yang Maha Kuasa, jangan lupakanNya walaupun sesaat nescaya hidupmu diberkati. Lakukanlah solat sunat istiharah kalau diperlukan bukan sahaja untuk menentukan jodoh mana yang lebih baik buat dirimu, tetapi juga untuk melebihkan amalan, bekalan akhirat nanti,".
Abang sering mengingatkan, "Sayangi Allah lebih dari mana-mana insan dan sayangi keluarga dan abang lebih dari mana-mana insan yang bakal adik sayangi. Sesungguhnya kasih sayang Tuhan melebihi segalanya. Kasih Tuhan berkekalan abadi. Dugaan yang diberi menunjukkan adik disayangi. Adik beruntung diberi dugaan jadi adik kena redha, bersyukur, banyakkan amalan tanda bersyukur terhadap Illahi. Sesungguhnya Allah sangat menyayagi adik,".
Ana bersyukur dilahirkan dalam keluarga yang beriman. Ana jua bersyukur dipertemukan dengan seorang abang yang sangat menyayangi adiknya dan tidak putus-putus memberi kata-kata perangsang. Alhamdulillah. Kesedihan daripada dugaan yang diberi tiada bandingannya dengan kasih sayang yang diperolehi. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
"Ya Allah, jangan Kau palingkan hati hambaMu yang lemah serta hina ini setelah Kau berikan hidayah. Aku bersyukur dengan segala apa yang diberikanMu. Aku redha dengan dugaan yang diberiMu. Berikanlahku kekuatan, ketabahan, petunjuk dan jua keimanan untuk menempuhi segala rintangan dan ujian dariMu"
04:56